Program Politeknik Merlimau Alumni Homecoming - Remember Me? 2017 itu julung-julung kali diadakan bagi menghimpunkan seramai mungkin bekas pelajar di politeknik tersebut sejak ia mula dibuka pada 2002.

Majlis alumni tersebut diadakan selepas 15 tahun penubuhan PMM bertujuan mengenal pasti semula bekas-bekas pelajar institusi itu selain mencari dalam kalangan mereka yang berjaya dalam bidang diceburi selepas tamat belajar.

Malah ada di antara peserta yang tidak pernah bersua muka sejak tamat pengajian dan program diadakan ini secara tidak langsung mengeratkan semula hubungan silaturahim sesama mereka.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Profesional, Jabatan Pendidikan Politeknik, Mohamad Amin Hamat dan turut dihadiri Pengarah PMM, Rashidah Mustapa serta barisan kepimpinan politeknik tersebut.

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengarah (Akademik) PMM, Rosita Zainal; Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohamad Nazri Ismail dan Ketua Pusat Perkhidmatan Perkhidmatan Korporat dan Pekerjaan (CISEC) PMM, Azimah Aziz.

Rashidah dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran majlis itu diharap tidak akan terhenti setakat itu sebaliknya ia akan diteruskan pada masa akan datang.

PMM katanya sedang merangka untuk mewujudkan beberapa keistimewaan khas untuk alumni PMM dan pihaknya sedang mendapatkan maklum balas tentang aspek lain yang ingin dicadangkan oleh alumni.

“Pada majlis ini juga, kita melancarkan aplikasi telefon yang dinamakan Reunite bagi kegunaan alumni di mana dalam aplikasi ini terdapat beberapa ruangan seperti sosial, buletin, ekonomi dan banyak lagi yang boleh dimanfaatkan oleh alumni,” katanya.

Matlamat kewujudan aplikasi itu adalah mengeratkan hubungan sesama alumni selain ia merupakan kaedah PMM untuk sentiasa berhubung dengan semua bekas pelajarnya.

Selain itu kata Rashidah, beberapa perancangan lain turut dirancang antaranya menerbitkan buku Success Stories of Alumni bagi memberikan inspirasi kepada pelajar PMM.

Sementara itu, Mohamad Amin dalam ucapan perasmiannya berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan PMM ini membuktikan institusi itu sentiasa mengingati alumninya.

“Bukan mudah untuk mengumpulkan lebih 200 bekas pelajar dalam satu majlis pertemuan seperti ini dan saya berharap alumni yang hadir untuk memberikan contoh yang terbaik atas kejayaan mereka supaya dapat dijadikan panduan kepada pelajar baharu.

“Saya juga menyeru bekas pelajar PMM sekiranya mempunyai ruang untuk berbakti semula kepada pusat pengajian anda, sila berbuat demikian kerana hasil sumbangan anda sama ada idea atau apa sahaja adalah dinanti-nantikan oleh pihak PMM,” katanya.

Antara pengisian sepanjang program tersebut adalah selain pelancaran aplikasi Reunite, pengumuman pemenang peraduan swafoto yang menawarkan hadiah lumayan iaitu hadiah pertama sebanyak RM1,000, tempat kedua RM700 dan ketiga RM400, cabutan bertuah, persembahan artis kebudayaan dan jamuan makan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, PMM telah melahirkan sebanyak 22,033 orang lepasan dan ada dalam kalangan mereka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing dan turut hadir pada program itu dalam segmen Ikon Alumni.