Ketua Unit Perpustakaan, Maziah Mohd. Rashid berkata, perpustakaan itu mempunyai lebih 50,000 koleksi meliputi pelbagai bidang terutamanya pendidikan dan sering menjadi rujukan ba­nyak pihak termasuk dari luar negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai tanpa mengira usia dan latar pendidikan supaya meraih manfaat daripada perpustakaan itu yang merupakan antara perpustakaan IPG terbaik negara.

“Ini adalah masa terbaik untuk masyarakat datang lebih-lebih lagi dengan keputusan kerajaan menutup kampus ini dalam tempoh dua tahun lagi.

“Perpustakaan ini mampu menampung kehadiran sehingga 250 pengguna pada satu-satu masa malah bagi menjamin koleksi terkini mencukupi pihak kami me­minjam 300 judul terkini daripada Perpustakaan Negara setiap enam bulan sekali,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Maziah berkata, perpustakaan itu bukan sekadar berfungsi sebagai tempat koleksi maklumat kurikulum keguruan semata-mata bahkan pihaknya juga turun padang membantu pusat sumber sekolah.

Katanya, pasukannya melawat tidak kurang 12 buah sekolah setiap tahun sama ada untuk membantu penubuhan atau memperkasakan fasiliti pusat sumber sedia ada.

“Kita pergi ke setiap sekolah bagi tempoh dua hingga tiga hari supaya guru mengetahui cara dan kaedah yang betul mengendalikan pusat sumber mereka.

“Kalau dahulu pusat sumber sekolah adalah antara subjek khusus yang diajar dalam kurikulum keguruan tetapi kini tidak lagi, jadi kepakaran kami menjadi penting untuk membantu para guru,” katanya.

Tambahnya, Perpustakaan Tok Kenali IPG Kampus Kota Bharu beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari bekerja dan untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 09-7738732.