Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pada tahun ini sahaja, seramai 700 pekerja telah dilatih melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) atau 19.5 peratus daripada jumlah sasaran, dan menjangkakan seramai 3,600 pekerja dapat dilatih menjelang 2022.

“Usaha meningkatkan kemahiran ini memberi peluang kepada 200 pekerja profesional dan 500 pekerja berkemahiran terlibat dalam projek prasarana rel sepanjang 688 kilometer yang menghubungkan Lembah Klang dan negeri-negeri di Pantai Timur pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sijil Program PLKI- ECRL di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok Kelantan dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 136 pelatih PLKI- ECRL yang menuntut di IKTBN Bachok dam ABM diraikan. Turut dirai kumpulan pertama graduan PLKI-ECRL iaitu sebanyak 49 graduan yang terdiri daripada 28 pemegang ijazah dan 21 diploma yang telah menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Majlis penyampaian sijil tamat latihan itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri. Dr. Daing Nasir Ibrahim serta Pengarah Projek CCCC dari China, Fang Zhenru.

Sementara itu, Nasir Ibrahim berkata, UMP yang menjadi universiti perintis Program PLKI-ECRL diharap dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu.

“Kepakaran dan pengalaman UMP dan rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal diharap turut dapat menyumbang terhadap akses pendidikan rel tersebut.

“Pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi yang menjadi teras kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),”katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama dengan universiti antarabangsa seperti Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Southwest Jiaotong University (SWJU) melalui perkongsian kepakaran Train of Trainers (ToT).

“UMP melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal pula akan membangunkan Program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Operasi dan Penyelenggaraan Sistem Rel) sebagai kursus teras.

“Kami juga merancang untuk menawarkan Program Teknologi Kejuruteraan Pengurusan Fasiliti (Perkhidmatan Transit) bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan termasuk penubuhan Akademi Industri Rel (RIA),”katanya.

Jelasnya, RIA akan terlibat dalam program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar.

Selain itu, ia juga melibatkan akses kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan kebolehpasaran graduan.