Pertandingan yang berlangsung di Royal Acade­my of Engineering, London, United Kingdom itu turut disertai 15 penyelidik dari Malaysia iaitu dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tun Hussein On Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Uniten. Turut mengambil bahagian adalah penyelidik dari Mexico dan Vietnam.

Dr. Rohayu yang merupakan Pensyarah Ka­nan di Uniten membentangkan projek bertajuk Bio-Vege-Grouia iaitu inovasi yang menggabungkan penye­lidikan dalam bidang geologi persekitaran, kejuruteraan awam dan mikrobiologi.

Penyelidikan itu berjaya menghasilkan cecair Bio-Vege-Grout yang diperkaya dengan bakteria baik dan didapati berupaya memperkukuhkan struktur tanah, selain mengga­lakkan pertumbuhan tumbuhan seperti rumput dan paku pakis.

Cecair itu diperoleh daripada pro­ses pena­paian sayur-sayuran terbuang terutama sayuran yang me­ngandungi ferum tinggi. Proses tersebut lazimnya mengambil masa kira-kira sebulan.

Inovasi yang dihasilkan itu didapati sesuai untuk digunakan hampir pada semua jenis tanah seperti tanah pasir, tanah liat dan tanah gambut.

Penyelidikan yang diusahakan bersama sekumpulan penyelidik Uniten sejak 2009 itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Hasil kerjasama itu, Dr. Rohayu bersama kumpulan penyelidik berpeluang menguji keberkesanan ino­vasi mereka, selain mendapat sokongan kewangan bagi merealisasikan projek tersebut.

Setakat ini, Bio-Vege-Grout sudah diuji di 12 lokasi cerun yang terdedah kepada ancaman tanah runtuh, terma­suk di Jeli dan Gua Musang, Kelantan; Kuala Kangsar, Perak; Chendering, Terengganu dan Cameron Highlands, Pahang.

Dr. Rohayu berkata, kajian itu menetapkan sasaran pengurangan kes-kes ber­kaitan ekologi, seperti hakisan tanah dan tanah runtuh di Malaysia, sekali gus mengurangkan bila­ngan kes kematian dise­babkan kemalangan jalan raya.

Selain kemenangan di London, inovasi tersebut juga berjaya memena­ngi beberapa pingat dan pengiktirafan berprestij serta RM25 juta geran penyelidikan berimpak tinggi pada peringkat tempatan dan antarabangsa sejak 2010.