Majlis tersebut dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Universiti Kuala Lumpur MITEC, Pasir Gudang di Johor.

Penasihat Projek Duta Jauhar 3.0, Abd. Rahman Safie berkata, penganjuran majlis anugerah itu bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha, tenaga dan komitmen para peserta serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Program Duta Jauhar ini meru­pakan cetusan idea Menteri Besar Johor yang mahu mahasiswa anak-anak Johor yang mengikuti pengajian di seluruh negara me­laksanakan projek bagi membantu masyarakat di negeri ber­kenaan.

“Ia antara lain bertujuan me­ningkatkan ekonomi rakyat Johor yang melibatkan penuntut universiti awam dan swasta untuk pulang berbakti kepada masyarakat berdasarkan kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Abd. Rahman yang juga Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Program Duta Jauhar diletakkan di bawah pe­ngawasan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang memasuki tahun ketiga penganjurannya.

“Kita cukup berbangga de­ngan kejayaan penuntut yang meraih anugerah pada kali ini kerana dalam percubaan pertama di Anugerah Duta Jauhar 2.0, mereka mendapat pingat gangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah program, Muhammad Alif Mahiddin, 23, berkata, segala usaha telah dilaksanakan melalui projek pembangunaan usahawan tani hingga membuahkan hasil apabila melihat usahawan yang mereka bim­bing kini berjaya meningkatkan pendapatan.

Katanya, projek yang dilaksa­nakan di Kampung Sepinang, Segamat, Johor itu berjaya me­ningkatkan pendapatan golo­ngan asnaf antara RM500 hingga RM1,500 sebulan.