Pensyarah pengiring, Mohd. Firdaus Baharuddin berkata, kumpulan itu terdiri daripada pelajar tahun tiga jurusan Dip­loma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Beliau berkata, selain bertujuan membantu Persatuan Amal Ibu Tunggal dan Wanita Kelantan (Mawar), program khidmat masyarakat tersebut sebagai memenuhi keperluan dalam sukatan pengajian mereka.

“Kami terbuka untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan sama ada idea mahupun tenaga.

“Program gotong-royong ini bertepatan kerana pelajar juga dapat berkongsi kreativiti dalam persiapan sebuah tadika,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Mawar, Datin Siti Norbaya Mazalam berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat kepercayaan seorang usahawan yang telah mewakafkan banglo dua tingkat di Jalan Long Yunos itu bagi tujuan kebajikan dan pendidikan.

Siti Norbaya berkata, pihak­nya merancang menjadikannya sebuah tadika tahfiz elit bermedium Bahasa Inggeris, namun dalam masa sama sasaran pelajar adalah dalam kalangan golongan asnaf.

“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak ibu tunggal dan keluarga miskin mendapat pendidikan awal terbaik dengan yuran pada kadar minimum,” ujarnya.