KUBANG PASU 14 Ogos – Masalah kewangan yang dihadapi untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, sama sekali tidak melemahkan semangatnya malah mencetus inspirasi kepada Muhammad Aizat Md. Sin, 29, untuk menceburi perniagaan menjual songket.

Menurutnya, minat berniaga sudah lama tertanam dalam dirinya sejak di bangku sekolah yang turut memberi kekuatan kepadanya untuk menjalankan perniagaan ini.
“Saya bukan dilahirkan dari keluarga yang kaya, ada kalanya teringin mendapatkan sesuatu barang dan berjalan-jalan makan angin seperti orang lain jadi keinginan dalam diri yang membuak-buak memberi semangat luar biasa untuk berniaga,” ujar penuntut PhD Pengurusan Teknologi, Operasi & Logistik ini.
Katanya yang turut memiliki ijazah Sarjana Sains Pengurusan, dia memulakan perniagaan itu tanpa menggunakan modal hanya berdasarkan tempahan daripada pelanggan.
“Setiap untung jualan pada awalnya disimpan kemudian digunakan sebagai modal,” katanya.
Media sosial seperti Facebook, Instagram dan Telegram menjadi pilihannya yang lebih menggunakan kaedah dalam talian berbanding jualan terus kepada pelanggan akhir.
“Teknologi memberikan pulangan yang berlipat kali ganda, bila kita menggunakannya dengan cara yang betul.
“Daripada membuang masa bermain telefon bimbit dan komputer riba, lebih baik jika kita isi masa dengan menggunakan teknologi untuk mendapatkan duit poket sambil belajar, itu lebih menguntungkan sekali gus memberi pengalaman yang menarik,” luahnya.
Tidak lokek berkongsi strategi pemasaran yang diamalkan, Aizat menjual kepada kawan-kawan terdekat dahulu sebelum mendapatkan pelanggan baharu.