Menerusi pengiktirafan itu, kerjasama akademik antara PNS dan CILTM itu akan melibatkan penawaran kursus bersama Program Persijilan Profesional dalam bidang logistik dan pengangkutan yang memberi nilai tambah kepada program Diploma Logistik dan Pengurusan Rangkaian Bekalan (DLS) yang ditawarkan oleh PNS.

Pengarahnya, Nazri Idris berkata, kerjasama ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi nilainya bagi PNS memacu kebolehpasaran siswazah dalam pasaran pekerjaan.

“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada PNS untuk terus berdaya saing dalam menyediakan lulusan yang diiktiraf bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,

“Sejak dilantik sebagai Pusat Latihan Bertauliah CILTM, PNS telah berjaya melatih dan melahirkan seramai 255 peserta yang berjaya mendapatkan sijil Certificate in Logistics and Supply Chain Management dan 43 peserta berjaya mendapatkan sijil Professional Industrial Certification Program.

“Pada masa sama, seramai 61 siswazah PNS dari program Diploma Logistik dan Pengurusan Rangkaian Bekalan (DLS) turut ditauliahkan dengan sijil profesional yang bertaraf antarabangsa iaitu Professional Qualifying Examination (PQE) in Logistics and Transport setelah tamat pengajian mereka di Politeknik Nilai.

“Jadi saya yakin ia akan menjadi pemangkin kepada siswazah PNS untuk terus komited dalam pengajian mereka” katanya.

Menurut Nazri, PNS amat berbangga diiktiraf sebagai salah satu institusi yang menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada siswazah yang mempunyai potensi untuk mempunyai kepelbagaian ilmu.

“Melalui dua persijilan ini, pelajar PNS akan dapat menambah kemahiran asas dan mempunyai ruang untuk meneruskan kerjaya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi melalui pengiktirafan profesional ini.

“Mereka akan diiktiraf pada peringkat global melalui keahlian CILTM yang bertaraf antarabangsa selain mempunyai akses dalam rangkaian sektor pekerjaan pada peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, bidang logistik dan rangkaian bekalan pada hari ini semakin meningkat dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja seiring dengan kemajuan dicapai negara Malaysia hari iini.

Katanya, bidang logistik umpamanya merupakan antara kerjaya yang penting pada masa ini malah keperluan tenaga kerja dalam lapangan itu semakin luas.

Sehubungan itu, beliau yakin PNS berupaya menghasilkan lebih ramai siswazah dalam bidang itu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tersebut pada masa depan.