Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, usaha itu melibatkan perkongsian kepakaran pendidikan TVET yang ada dalam kalangan siswazah dan siswazah melalui jaringan kampus antarabangsa Limkokwing di seluruh dunia termasuk di negara-negara Afrika.

Katanya, pemindahan kepakaran itu adalah sebahagian daripada usaha universiti untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

“Pada masa ini terdapat begitu banyak kepakaran serta kemahiran TVET yang boleh dikongsi bersama antara negara. Sesetengahnya mempunyai potensi untuk dikembang dan dimajukan secara berterusan melalui jaringan kampus Limkokwing.

“Kami telah menyediakan landasan yang menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara-negara di Afrika ke arah pemindahan ilmu TVET pada peringkat universiti dan industri dengan tujuan untuk memperluas serta membantu mempromosi TVET Malaysia di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing 2017 di Lesotho, Botswana dan Swaziland, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu melibatkan gra­duan Fakulti Inovasi Reka Bentuk, Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Komunikasi dan Media, serta Fakulti Arkitek dan Hiasan Dalaman. Selain itu, graduan yang turut menerima ijazah dan diploma pada majlis itu adalah daripada Fakulti Perniagaan dan Globalisasi serta Fakulti Teknologi bagi sesi 2015.

Sementara itu di Lesotho, seramai 791 graduan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Lehakwe, Maseru.

Majlis penyampaian ijazah dan diploma itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Lesotho, Monyane Moleleki.

Moleleki berkata, graduan Universiti Limkokwing perlu seimbang dengan keupayaan, potensi dan bakat diri untuk membantu membangunkan Lesotho menjadi sebuah negara yang maju.

“Dalam memenuhi tuntutan itu, dengan adanya Universiti Limkokwing Lesotho, ia menjadi titik tolak ke arah membantu negara ini meningkatkan potensi golongan profesional kami. Terima Kasih Tan Sri Lim Kok Wing dan Malaysia amnya yang membantu kami,”katanya.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing Botswana pula meraikan seramai 950 graduan yang menerima ijazah dan diploma di dewan utama universiti itu.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Naib Pre­siden Botswana, Mokgweetsi Masisi.

Masisi berkata, kesemua graduan Limkokwing perlu menyiapkan diri dengan disiplin ilmu TVET yang berdaya saing bagi menyahut cabaran dalam menuju ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia.

“Cabaran yang akan dihadapi dari sehari ke sehari semakin kompleks terutama dalam usaha untuk mencapai negara maju, Terima Kasih kepada Universiti Limkokwing, Tan Sri Lim Kok Wing dan Malaysia. ” katanya.

Sementara itu, di Swaziland pula seramai 828 graduan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mavuzo.

Majlis penyampaian ijazah dan diploma itu telah disempurnakan oleh Raja Swaziland, Raja Mswati III. Hadir sama, Perdana Menteri Swaziland, Dr. Barnabas Dlamini.

Pada majlis itu menyaksikan, Dua Raja Permaisuri Swaziland, Permaisuri Inkhosikati LaMotsa dan Permaisuri Inkhosikati LaMbikiza masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik. Kedua-dua permaisuri itu turut dianugerahkan dengan Anugerah Kepimpinan Universiti Limkokwing.

Sementara itu, Dlamini berkata, usaha gigih perlu dilaksanakan graduan Limkokwing bagi meningkatkan daya saing serta perlu menghayati budaya kerja universiti antarabangsa ini yang berdaya maju yang menjadikan visi serta misi Swaziland sebagai asas untuk menghasilkan golongan profesional negara.

“Kami menekankan latihan berasaskan industri TVET dalam meningkatkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran keusahawanan serta kebolehpasaran graduan,” katanya.