Timbalan Naib Canselor UPSI (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Noraini Idris berkata, kajian itu juga akan menyentuh mengenai aspek pendidikan melibatkan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita berharap dapat me­rangka satu polisi yang dapat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan suatu dasar sesuai bagi merencana pembangunan remaja di Perak.

“Untuk permulaan, kita bermula di daerah Mualim bagi mencari langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu remaja di sana,” katanya selepas majlis menandatangani MoU tersebut sempena Seminar Kajian Tahun­an IDR Ke-4, di sini semalam.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dalam majlis tersebut, IDR diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mazalan Kamis.

Terdahulu, dalam majlis sama, Zambry berkata, kerajaan negeri buat julung kalinya bakal menganjurkan Festival of Ideas selama seminggu sebelum edisi Dialog Pangkor 2017 bermula pada 9 September ini.

Beliau berkata, festival yang bakal diisikan dengan penganjuran seminar dan persidangan itu antara lain bertujuan menjadikan bandar raya ini sebagai bandar ilmu.

“Seminar dan persidangan itu diadakan sama ada di hotel ataupun di pusat konvensyen. Konsep penganjuran festival idea ini mungkin agak baharu di Asia Tenggara tetapi dilaksanakan di banyak negara.

“Tahun lepas, kita cuba mulakannya selama tiga hari dan sam­butannya sangat menggalakkan, jadi kita mahu panjangkannya kepada tempoh tujuh hari,” katanya.