Antara usaha yang dilakukan UiTM adalah meningkatkan kualiti pendidikannya, terutama dalam memberi peluang kepada pelajar-pelajar bumiputera menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Selaras dengan itu, UiTM telah menubuhkan Institut Pengajian Siswazah (IPSis) pada tahun 1997 dan melalui IPSiS, UiTM sentiasa berusaha mengembang dan memperkasakan program pengajian tinggi di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD bagi menyediakan peluang pendidikan tinggi bertepatan dengan lonjakan pembelajaran sepanjang hayat.

UiTM menyediakan pelbagai program pengajian pascasiswazah melalui mod penyelidikan, kerja kursus dan mod campuran sama ada secara sepenuh atau separuh masa.

Universiti itu juga sentiasa me­nitikberatkan kecemerlangan akademik dengan memper­kenalkan program-program penyelidikan pelbagai disiplin dan membuka peluang kerjasama bersama industri untuk menghasilkan siswazah berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, UiTM menawarkan 160 program peringkat Sarjana dan 55 program di peringkat PhD. Program-program itu meliputi bidang Sains dan Teknologi, Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Pengurusan dan Perniagaan.

Bagi tahun 2018, beberapa fakulti telah menawarkan program-program baharu selaras dengan perkembangan dan ke­perluan semasa.

Antara program baharu yang ditawarkan ialah program Sarjana Sains Reka Bentuk Ruang Bandar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Pe­ngurusan dan Perniagaan, Sarjana Sains Kejuruteraan Frekuen­si Radio di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Sarjana Sains Kejurute­raan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal serta Sarjana Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

Selain itu, terdapat juga program-program baharu di Fakulti Sains Komputer dan Matematik dalam memberi pilihan kepada calon seperti Sarjana Sains Komputer (Teknologi Web), Sarjana Sistem Maklumat (Sistem Pintar), Sarjana Sains Sistem Maklumat Strategik dengan Pengurusan Perniagaan dan Sarjana Sains Data.

Ketika ini, UiTM mempunyai lebih kurang 8,000 orang pelajar pascasiswazah dan bilangan itu akan meningkat memandangkan UiTM menyasarkan seramai 20,000 pelajar pascasiswazah pada 2020.

Bagi mencapai sasaran tersebut, UiTM mempelawa calon bumiputera untuk mengikuti pe­ngajian di peringkat Sarjana dan PhD bagi kemasukan sesi September 2018.