Pengarah AAA, Mohd. Asri Ahmad berkata, MoA itu membolehkan kedua-dua pihak membuat seminar atau bengkel berkaitan saham sama ada di dalam atau luar kampus UiTM.

Mentor pelaburan itu berkata, program tersebut akan memberi nilai tambah kepada pelajar UiTM khususnya yang mengambil program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelaburan.

“Peserta bengkel juga akan diajar secara teori dan praktikal mengenai pelaburan saham selari dengan kehendak pasaran sehingga mendapat nilai kemahiran mengikut garis panduan Industri 4.0,” katanya ketika ditemui di Karnival Pelaburan Syariah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

ada majlis tersebut, UiTM diwakili oleh Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Ahmad Naqiyuddin Bakar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Pada majlis itu, Mohd. Asri turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pengerusi Koperasi Remisier Bumiputra Berhad, Zainal Ariffin Osman untuk mewujudkan kerjasama pintar dalam menyumbang kepakaran mengenai ilmu pensijilan profesional analisis teknikal.

Menurut Mohd. Asri, penganjuran bengkel atau seminar tersebut diharap akan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelaburan saham.

“Setakat ini, saya telah berkongsi ilmu berkaitan saham dengan lebih 75,000 orang dalam tempoh tujuh tahun,” katanya yang merupakan alumni Diploma Analisa Pelaburan UiTM.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel atau seminar tersebut boleh menghubungi pihak AAA di talian 012-662 6612 atau 016-466 0690 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE