Program Klinik Pertanian yang diadakan itu akan memberi khidmat nasihat dan perundingan untuk menaik taraf teknologi tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengemu-kakan pelbagai masalah atau pandangan berkaitan pertanian kepada kumpulan pakar tersebut.

Kumpulan pakar itu mempunyai kepakaran dalam ternakan haiwan, ikan keli, tanaman buah-buahan terutama nangka madu, dan pemprosesan makanan selain boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan pertanian melalui demonstrasi teknik bakaan tanaman, penanaman cendawan dan fertigasi.

Ekspo pertanian itu juga merupakan platform kepada agensi pertanian untuk mendapatkan kepakaran dalam bidang industri asas tani melalui tanaman dan pemprosesan bahan seperti susu, buah-buahan tempatan dan herba yang sering digunakan dalam pembuatan produk seperti keju, yogurt, jeruk dan sabun.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang melihat hasil-hasil penyelidikan baharu UPM dengan teknologi terkini yang sesuai untuk pertanian bandar.