Dahulu, ramai menyatakan hanya mereka yang berjaya terpilih melalui sistem kemasukan Unit Pusat Universiti (UPU) sahaja layak melanjutkan pelajaran di UTM.

Namun kini, selari dengan peredaran masa dan tahap berdaya saing yang tinggi, UTM te­lah membuka ruang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di universiti itu tanpa me­lalui UPU.

Peluang itu dibuka kepada pelajar melalui UTM International Degree Programme (UTM-IDP) iaitu sebuah program premium khusus untuk pelajar tempatan dan antarabangsa yang ingin menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda. Istimewanya, syarat kemasukan bagi program tersebut lebih fleksibel berbanding program lain.

UTM-IDP juga adalah program pertama seumpamanya di Malaysia yang telah ditambah baik untuk memberi pengalaman baharu kepada pelajar. Kewujudan program tersebut telah memberi peluang kepada pelajar terma­suk graduan diploma dari institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) untuk mengikuti program Sarjana Muda di UTM dengan syarat kelayakan yang minimum.

Inilah peluang terbaik yang ditunggu oleh ramai graduan diploma kerana mereka dapat meneruskan pengajian dengan pilihan yang diminati. Malah, pelajar dijanjikan satu pe­nga­laman pengajian yang lebih menarik dengan fasiliti dan infrastruktur terbaik.

Program-program pengajian yang ditawarkan melalui UTM-IDP adalah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan tempoh pengajian selama empat tahun. Malah, ia juga diiktiraf oleh Lembaga Kejuruteraan Malaysia.

Terdapat 12 program yang ditawarkan antaranya Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam), Ijazah Sarjana Muda Kejurute­raan (Elektrik), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik- Elektronik) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Bio-Perubatan).

Pusat pembelajaran bagi program UTM-IDP dijalankan di kampus induk UTM di Johor Bahru, Johor. Cuma, program Ijazah Sarjana Muda Sains Reka Bentuk Industri dijalankan di UTM Kuala Lumpur.

Sesi kuliahnya pula sama se­perti yang dilaksanakan oleh universiti-universiti lain iaitu pelajar perlu hadir ke kelas bagi menjalani sesi pengajian. Kuliah dijalankan di dalam Bahasa Ingge­ris sepenuhnya kerana terdapat pelajar antarabangsa yang turut mengikuti program tersebut.

Selain sesi kuliah secara bersemuka, mahasiswa UTM-IDP juga memiliki kelebihan lain kerana mereka mempunyai sesi atas talian yang dijalankan oleh penyelia akademik untuk membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih kerap dan kondusif.

Pendekatan itu dapat membantu mahasiswa mendalami sesuatu perkara yang dipelajari dengan lebih efisyen dan efektif.

Mahasiswa juga boleh membuat pindahan kredit dengan syarat mereka lulus dalam kursus yang setaraf di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) dengan keputusan yang setara dan memenuhi keperluan kurikulum program yang sedang di­ikuti.

Pindahan kredit yang dibenarkan tidak melebihi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kredit yang disyaratkan untuk pengijazahan sesuatu program pengajian.

Dalam pada itu, pelajar UTM-IDP akan melalui program pembelajaran di luar negara yang telah dimasukkan di dalam silibus. Tujuan menghantar mahasiswa ke luar negara adalah sebagai satu pendedahan global dan meningkatkan keyakinan diri sesuai dengan pembangunan kemahiran insaniah mahasiswa.

Untuk mendaftar ke program UTM-IDP, pelajar tidak perlu memohon melalui sistem kemasukan UPU, sebaliknya hanya perlu mendaftar secara atas talian di admissions.utm.my

Pendaftaran akan dibuka pa­da bulan Jun hingga Julai setiap tahun. Keputusan bagi permohonan boleh disemak melalui laman web yang sama.