Bagaimanapun, kuota pe­ngam­bilan pelajar untuk kursus perubatan di universiti awam adalah terhad. Oleh itu, terdapat beberapa universiti di luar negara yang menawarkan peluang untuk lepas SPM dan STPM mencapai impian tersebut antaranya ialah universiti perubatan di Rusia.

Cuma yang membimbangkan ibu bapa mahupun pelajar, kos pengajian terutamanya kursus perubatan amat tinggi lebih-lebih lagi jika mengikuti pengajian itu di luar negara.

Menyedari permasalahan itu, syarikat Dimitech Resources Sdn. Bhd. cuba membantu dengan menyediakan platform kepada pelajar mengikuti pengajian perubatan dengan kos berpatutan.

Pengarah Urusan Dimitech Resources, Asmani Othman berkata, syarikatnya yang beroperasi di Kelana Business Centre, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor itu telah menggerakkan usaha tersebut dan menghantar lebih 120 pelajar melanjutkan pengajian perubatan setiap tahun.

Katanya, setakat ini pihaknya telah berjaya melahirkan ramai doktor berkelayakan selepas enam tahun pengajian.

Jelasnya, untuk pengajian perubatan, syarikatnya memilih Kursk State Medical University (KSMU) sebagai rakan universiti di Rusia.

“Lazimnya, kami menawarkan tiga kursus utama iaitu perubatan, pergigian dan farmasi de­ngan kos berpatutan dan suasana fleksibel kepada pelajar mahupun ibu bapa itu sendiri.

“Kami memberi jaminan akan memastikan segala urusan pelajar di luar negara berjalan lancar. Perkembangan pelajar juga akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga di Malaysia,” katanya yang mempunyai 10 tahun pe­ngalaman dalam bidang tersebut.

Asmani berkata, Dimitech Resources turut mengambil kira elemen kelayakan seseorang pelajar bagi memastikan impian mereka memperoleh keputusan cemerlang tercapai.

“Ibu bapa yang khuatir pengajian di luar negara boleh menelan belanja tinggi boleh menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan. Saya sendiri akan menemani pelajar ke KSMU untuk pendaftaran di sana,” katanya.

Menurut Asmani, untuk pendaftaran praperubatan, KSMU akan mengambil kemasukan pelajar pada Mac, Mei, Jun dan September. Manakala pengajian perubatan penuh setiap Februari dan September.

Mengenai kelebihan KSMU, As­mani memberitahu, universiti itu terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia yang hendak me­nyambung pengajian dalam bidang perubatan di Rusia.

Beliau berkata, KSMU menjadi pilihan kebanyakan pelajar memandangkan yuran pengajian dan kos sara hidup di sana tidak terlalu tinggi berbanding universiti perubatan yang lain.

“Bahasa yang digunakan dalam pembelajaran di KSMU adalah bahasa Inggeris. Bagaimanapun, pelajar pada tahun pertama akan menjalani program asasi selama satu tahun di kolej tempatan.

“Melalui program asasi itu, mereka akan mendaftar dalam kelas bahasa Rusia secara percuma bagi memudahkan komunikasi ketika menyambung pengajian di sana,” jelasnya.

Universiti tersebut diiktiraf secara global dalam bidang perubatan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain me­ngenakan yuran jauh lebih murah.

Dalam pada itu, Asmani memberitahu bahawa KSMU mempunyai reputasi tinggi dan diiktiraf kerajaan Malaysia termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat.