Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Profesor Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jelajah tersebut menyaksikan penglibatan sebanyak 19 buah institut pengajian tinggi, 108 kolej komuniti, 37 kolej politeknik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta institusi kemahiran di bawah Mara.

“Komitmen institusi-institusi ini adalah selaras dengan matlamat pendidikan sepanjang hayat dan konsep keadilan bagi membolehkan orang Melayu dan bumiputera menikmati kerjaya yang lebih baik.

“Pelaksanaan program JPB dilihat membuka peluang pelajar bumiputera miskin dan kurang berkemampuan yang memenuhi syarat minimum melanjutkan pelajaran ke 19 universiti awam di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian JPB 2017 Peringkat Daerah Temerloh di Dewan Sri Mentakab di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin; Timbalan Pengerusi GiatMara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Pada perkembangan berkaitan, Sahol Hamid menjelaskan, pelajar yang dikategorikan sebagai miskin adalah daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah dan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Mana-mana pelajar yang tidak melepasi syarat ke universiti awam, mereka ditawarkan mengikuti pengajian pilihan di politeknik, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Mara dan GiatMara.

“Apa yang penting, generasi muda mendapat pendedahan peluang melanjutkan pelajaran sekali gus berminat untuk me­nyambung pelajaran di mana-mana institusi pilihan berdasarkan kelayakan minimum.

“Lebih istimewa, mereka yang berminat ke universiti awam, tidak perlu mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) tetapi hanya mengisi borang disediakan pihak sekretariat yang akan membawa borang itu ke universiti berkenaan,” ujarnya.

Tambah Sahol Hamid, sekretariat kemudian akan mencari, mengenal pasti dan membantu lebih 150,000 pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 hingga 2016 yang menjadi sasaran program tersebut bagi melanjutkan pelajaran ke institusi bersesuaian.

“Peluang ini juga terbuka kepada lepasan pelajar pusat asasi sains dan kolej matrikulasi yang belum mendapat tawaran di universiti tempatan.

“Pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di mana-mana ins­titusi tidak perlu risau tentang pembiayaan kerana ada dana khas boleh membantu seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), agensi zakat dan Bank Rakyat,” jelas­nya.