Pengarah program, Nur Syahirah Samsudin, 22, berkata, objektif program adalah untuk memperkasa mahasiswa untuk sama-sama membantu masyarakat serta membangunkan kemahiran insaniah sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan kelak.

“Ganjaran yang diperoleh daripada aktiviti sukarelawan membolehkan anda berhubung secara langsung dengan masyarakat dan membantu mereka untuk melalui penghidupan lebih baik. Kumpulan sukarelawan ini mengagihkan bungkusan dalam empat sesi antara November 2015 hingga Mac 2016,” katanya kepada .com.

Beliau berkata, pada setiap sesi, sukarelawan dari UPM akan berkumpul di Medan Tuanku dan pusat beli-belah Kota Raya untuk mengagihkan makanan dan minuman kepada gelandangan. Sukarelawan itu dibantu oleh kru PERTIWI Soup Kitchen bagi memastikan proses pengagihan berjalan lancar.

“Mempelajari kemahiran baharu boleh memberi banyak faedah. Perlu diingat, kemahiran paling berharga yang boleh disemai pada mana-mana sukarelawan adalah rasa belas ihsan, minda yang terbuka, kesediaan untuk melakukan apa juga yang diperlukan serta bersikap positif,” katanya.

Ketua PERTIWI Soup Kitchen, Munirah Hamid pula berkata, kesukarelawanan adalah mengenai penggiliran tugas dan tanggungjawab.

“Perubahan baik yang anda lakukan dalam kehidupan seseorang sebenarnya akan membawa perubahan dan makna yang lebih besar dalam kehidupan anda. Melalui program ini, sukarelawan menimba pelbagai pengalaman,” katanya.

Wakil dari I.M.A.N, Ahmed Adrees Meah Azlan Meah,22, pula berkata, program itu membantu sukarelawan menghargai nilai dalam membantu seseorang.

“Saya bukan sahaja mempelajari kemahiran pengurusan tetapi juga dapat mengetahui perkara yang perlu saya miliki untuk berdepan dan menangani sesuatu situasi atau keadaan,” katanya.

“Sukarelawan bukan sahaja menyediakan peluang untuk kita membabitkan diri dalam menghulurkan bantuan tetapi juga menghidangkan ruang untuk kita melihat sesuatu di luar daripada kebiasaan yang kita alami serta merasai apa yang dilalui orang lain.”

I.M.A.N adalah pertubuhan bukan kerajaan yang didaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2015. NGO yang aktif sejak tiga tahun lalu itu diasaskan oleh empat graduan perubatan di Universiti Alexandria, Mesir pada Disember 2013.

Mereka ialah Izzati Jamaluddin, Mardiah Ghazali, Alia Azlan, dan Nabila Yahya. NGO ini mengambil huruf pangkal nama pengasas itu. Pertubuhan ini bertujuan menyampaikan bantuan peralatan kepada hospital di Alexandria, Mesir. – UPM