Projek anjuran Anomalist Production dengan kerjasama Pertubuhan Seni Lakon (PELAKON) UM itu menonjolkan beberapa keunikan dan konsep baru dalam pementasan teater seperti membawa 12 watak berbeza oleh hanya dua orang pelakon dan set pentas berkonsepkan ‘sangkar’ yang menjadi pentas utama lakonan.

Pengarahnya, Annazerul berkata, teater tersebut mengisahkan tentang perjuangan seorang individu bernama Ali terhadap minatnya dalam bidang seni persembahan sehingga sanggup berkorban untuk menjadi hamba kepada peminatnya sendiri.

“Skrip Untuk Ali merupakan arahan kedua saya selepas Saksi Terakhir dengan membawa konsep minimal kepada struktur pentas dan sinografi persembahan yang berunsurkan elemen eksperimental.

“Konsep minimal atau minimalistik yang dimaksudkan tidak menggunakan banyak peralatan, pergerakan keluar masuk dan kostum yang digunakan.

“Tujuan pementasan teater ini juga adalah untuk memberi kelainan kepada penonton daripada pelbagai aspek terutama dalam prinsip lakonan dan pementasan,”ujarnya yang baru berusia 24 tahun.

Tambahnya, apa yang menarik adalah lakonan pementasan hanya dibawa oleh dua pelakon sahaja dengan memberi fokus kepada kualiti serta tenaga sepenuhnya daripada lakonan tersebut.

“Saya harap mesej dan nilai murni dapat disampaikan dengan sempurna kepada penonton,” ujarnya.

Ditanya mengenai nilai murni yang diterapkan di dalam Skrip Untuk Ali, Annazerul berkata, dia menerapkan elemen-elemen kemanusiaan, kasih sayang, kekeluargaan, mistik dan banyak lagi sehingga dapat menghasilkan sebuah cerita yang boleh memberi signifikan kepada mereka yang menceburi seni teater.

“Walaupun tidak semua individu terlibat secara langsung dalam acara seni, namun cerita ini dapat memberi gambaran sebenar realiti hidup pencinta seni kepada segenap masyarakat. Ini kerana seni adalah elemen yang hidup di setiap ruang kehidupan manusia,” katanya. – NUR HIDAYAH MUSTAFA