PARIT 23 Okt. – Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang cacat sejak dilahirkan, berjaya mencapai impiannya untuk menggenggam ijazah selepas tujuh tahun mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak di Seri Iskandar di sini semalam.
Aida Fazira Mohd. Alias @ Ayit, 23, dari Kampung Selabak, Teluk Intan, cacat kaki sejak dilahirkan dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa didukung oleh rakannya setiap kali hendak menaiki dan menuruni tangga untuk ke kelas.
Menurutnya, dia bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan yang sentiasa membantunya ke kelas sepanjang tujuh tahun belajar peringkat Diploma dan Sarjana Muda bidang Seni Reka Grafik di UiTM.
Katanya, kejayaannya memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.3 dalam bidang Seni Reka Grafik merupakan hadiah buat arwah ibunya, Sabariah Hashim, 55, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Julai lalu.
“Pesanan arwah ibu serta sokongan yang diberikannya memberikan semangat dan kekuatan untuk saya mengejar cita-cita.
“Walaupun agak terkesan dengan pemergian ibu, saya tetap kuatkan semangat untuk belajar dengan dibantu sokongan ahli keluarga dan kawan-kawan sekelas,” katanya.
Aida Fazira merupakan salah seorang 2,943 graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang menerima skrol daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad pada Istiadat Konvokesyen Ke-87 UiTM Perak di sini. semalam.
Sementara itu, rakannya, Siti Sarah Ibrahim, 23, berkata, dia dan dua lagi rakannya tidak menganggap bantuan mendukung Aida Fazira semasa menaiki dan menurun tangga untuk ke kelas sebagai sesuatu yang membebankan.
“Sebagai kawan, kami sedaya-upaya membantunya terutama untuk ke kelas atau ketika melakukan harian lain. Dia seorang pelajar yang suka berdikari dan sangat tabah sepanjang kami mengenalinya,” katanya.