Namun, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) agak terbatas sekiranya tiada peralatan yang sesuai terutama dalam bidang kejuruteraan automotif.

Menyedari perkara itu, sepasukan pelajar dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Seberang Perai (PSP) membangunkan sebuah Mesin Pembelajaran Transmisi Manual Kereta.

Menurut pensyarah jabatan itu, Mohd. Azizi Said, mesin tersebut dibangunkan pelajar tahun akhir sebagai projek akhir mereka bagi mengetahui lebih mendalam tentang sistem clutch dan kotak gear di dalam enjin kereta.

“Selama ini proses P&P hanya berdasarkan teori dan demonstrasi pada enjin dan kotak gear hanya dibuat dalam keadaan pegun namun kini pelajar dapat melihat sendiri bagaimana ia berfungsi semasa enjin beroperasi.

“Mesin ini mampu menunjukkan bagaimana keadaan clutch ketika pertukaran gear berlaku kerana sebahagian kotak gear dipotong untuk memudahkan pelajar melihat sendiri komponen seperti bearing, flywheel dan clutch berfungsi dalam kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, penghasilan projek akhir itu dilaksanakan di bawah seliaan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Nasir Marzuki yang banyak memberi input dan idea.

Mohd. Azizi berkata, mesin pembelajaran itu menggunakan keseluruhan komponen di dalam kereta sebenar seperti pedal clutch, pam utama, pam kedua, tangki minyak pam, gear lever, penukar gear, flywheel, set clutch dan kotak enjin sebenar.