Presiden kumpulan itu, Datuk Jamal Mohd. Amin berkata, pihaknya menyediakan hampir 1,000 unit pejabat maya itu di menara tersebut dengan kadar sewa serendah RM50 sebulan.

Beliau berkata, tawaran itu membolehkan para usahawan tersebut mempunyai alamat perniagaan di Kuala Lumpur yang boleh menjana kemajuan perniagaan mereka di lokasi strategik.

“Di menara ini, kami turut menyediakan ruang pertemuan, bilik perbincangan, bilik mesyuarat, ruang pelancaran produk dan bilik seminar dengan kadar yang rendah,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pembukaan pejabat maya itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti, Amir Hamzah Md. Isa.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Uniti dengan tiga usahawan dari Indonesia.

Jamal memberitahu, MoU itu akan membantu kolej berkenaan mengembangkan inisiatif pejabat maya Uniti ke pasaran ASEAN menjelang akhir tahun ini.

“Ini penting kerana kita hendak bina rangkaian. Sehingga kini, kita telah ada ambilan sebanyak 50 unit dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Lepas ini kita akan mengenal pasti ejen di negara-negara ASEAN yang lain,” katanya.

Beliau berkata, kolej tersebut bercadang untuk memfrancaiskan konsep tersebut pada masa akan datang. - NAZARUDIN SHAHARI