Pameran yang diadakan ini bagi memperingati penghibur terbaik Malaysia yang juga merupakan alumni UM.

Majlis pelancaran pameran itu telah disempurnakan oleh Duta Alumni UM dan peminat tegar Allahyarham Sudirman, Datuk Aznil Nawawi.

Aznil dalam ucapan berkata, beliau menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idolanya walaupun tidak mengenalinya secara peribadi.

“Saya amat kagum dengan peribadi Sudirman yang mampu menyesuaikan diri dengan peminatnya dari pelbagai peringkat usia dan bangsa.

“Kerana minat saya yang mendalam terhadap Sudirman, Saya sendiri banyak mengikuti karakter beliau yang menepati masa dan berketerampilan kemas malah mengikuti jejaknya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pameran Perpustakaan, Shamsiah Abu Bakar dan Pustakawan UM, Siti Juryiah Mohd. Khalid.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh dua pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Undang-Undang, Nurfatin Fauzi dan Nurul Amaninah Pius yang menyampaikan dua buah lagu Sudirman iaitu Kenangan Manis dan Langit Petang.

Sementara itu, Siti Juryiah berkata, pameran ini banyak mengisahkan tentang perjalanan kerjaya Allahyarham Sudirman yang dapat dipelajari daripada pameran tersebut.

Katanya, bahan-bahan yang dipamerkan adalah koleksi perpustakaan Universiti Malaya seperti audio kaset, piring hitam, CD, video, buku-buku serta majalah termasuk URTV dah Mastika.

Selain itu, replika air minuman tin Sudi dan kad jemputan perkahwinan Sudirman daripada koleksi peribadi Prof. Diraja Ungku Aziz yang juga Naib Canselor Unversiti Malaya termasuk sumbangan bahan dari Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.

“Saya amat berbangga dan terharu dengan sambutan warga Universiti Malaya yang menjayakan pameran ini. Pameran yang julung kali diadakan ini merupakan Alma Mater Allahyarham Sudirman dan terbuka kepada orang ramai.

“Kami berbangga memiliki alumni yang hebat dan berbakat besar. Saya berharap pameran ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar UM dan pengunjung untuk melakar kejayaan menjadi insan yang hebat dan berjaya seperti Sudirman,” katanya.

Seorang pengunjung, pelajar kedoktoran di Fakulti Pendidikan, Amir Hamzah Alias berkata, beliau meminati Allahyarham sejak di bangku sekolah dan turut menjadikan beliau sebagai idola untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat tinggi.

“Saya memiliki hampir semua koleksi piring hitam dan kaset Sudirman. Saya benar-benar meminati beliau. Pameran ini dapat melepaskan rasa rindu saya terhadap beliau dan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak,”katanya.

Sebarang maklumat tentang pameran ini boleh menghubungi Adida Mohd. Amin melalui e-mel [email protected] atau pada talian 03-7967 3206/7743.