Namun bagi istilah orang tempatan khususnya anak jati negeri ini, ‘bagan’ yang juga nama daerah di negeri ini bermaksud jeti atau pangkalan untuk berlepas ke suatu tempat seperti Tanjong yang kini dikenali sebagai Georgetown.

Demikian dijelaskan Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang (Perwarisan), Dahalan Fazil ketika perkongsian mengenai sejarah Pulau Pinang dalam Siri Syarahan CenPRIS - Dato’ Jenaton kali keempat di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga pengkaji sejarah tempatan menambah, tanah besar yang bertentangan de­ngan Tanjong Penaga dan dikenali sebagai Bagan, merupakan kawasan penempatan awal penduduk tempatan.

Menurutnya, nama Bagan ber­asal dari 10 tempat yang bermula dengan nama Bagan iaitu Bagan Belat, Bagan Tambang, Bagan Lebai Tahir, Bagan Dalam, Bagan Ajam, Bagan Jermal, Bagan Lama, Bagan Luar, Bagan Tuan Kecil, Bagan Lalang dan Bagan Serai.

“Perkongsian sejarah Seberang Perai kurang diberikan perhatian dan sejarahnya hanya tertumpu kepada cerita lisan sahaja.

“Nama Perai dikatakan berasal daripada perkataan Siam yang membawa maksud ‘rakyat tunggu di sini’ dan Seberang Perai dan bahagian pulau negeri ini menjadi tumpuan pelarian perang dan markas mengatur serangan Gerakan Pembebasan Kedah,” katanya.

Dahalan berkata, Bagan merupakan pusat pertumbuhan ekonomi kerana terdapat perkhidmatan feri rantai atau Chain Ferry yang dijadikan pengangkutan awal suatu ketika dahulu yang merentasi Sungai Perai antara Perai dan Ujong Batu.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga kilang memproses gula yang diberikan nama Kilang Gula Perai yang terkenal sehingga kini.