Pengerusi Penganjur Bersama ISSC 2017, Prof. Madya Dr. Chen Chee Keong berkata, persidangan kali ini menekankan isu penting sebagaimana persidangan edisi terdahulu iaitu sukan berprestasi tinggi dan mempromosi gaya hidup sihat.

“Masalah terkini di Malaysia ialah gaya hidup tidak sihat atau sedentari seperti peningkatan gejala obesiti dan penyakit kronik. Negara ini antara negara terbawah dalam senarai negara yang penduduknya aktif secara fizikal.

“Kira-kira 60 peratus golongan dewasa di negara ini dalam kumpulan sedentari. Sehubungan itu, kesedaran tentang gaya hidup sihat serta bentuk senaman yang boleh diamalkan bagi mencegah penyakit kronik harus ditekankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perasmian ISSC 2017 yang disempurnakan oleh Ahli Persekutuan Program Neurolinguistik Kebangsaan, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Madya Dr. Lim Boon Huat.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini itu bertemakan Pendekatan Menyeluruh untuk Meningkatkan Prestasi dan Kesihatan Insan itu menyaksikan 15 pakar sains sukan dari 11 negara tampil membentangkan hasil penyelidikan masing-masing.

Tiga pakar sains sukan dari Amerika Syarikat (AS), Afrika Selatan dan Jepun turut menyampaikan ucaptama dalam persida­ngan itu.

Mereka ialah Profesor Ulung Jabatan Sains Senaman University of South Carolina, Prof. Dr. J. Larry Durstine dan Pengarah Pusat Pengajian Biokinetik, Rekreasi dan Sains Sukan North-West University, Afrika Selatan, Prof. Dr. J. Hans de Ridder.

Yang turut menyampaikan ucap tama ialah Ketua Institut Penyelidikan Kesihatan dan Sains Sukan Chukyo University of Japan, Prof. Shinjo Sakurai.