Acara yang merangkumi kategori tilawah al-Quran, hafazan, dan nasyid itu dianjurkan bersama oleh Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), KUIS dan Pusat Penyelidikan al-Quran Universiti Malaya (UM).

Ia diadakan berikutan kesedaran betapa pentingnya bahasa isyarat sebagai medium komunikasi bagi golongan pekak.

Menurut Rektor KUIS, Prof. Madya Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri, beliau amat berbesar hati menjadi tuan rumah sempena musabaqah tersebut dan berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Saya berharap program ini dapat dijadikan sebagai program tahunan untuk peringkat kebangsaan dan program ini juga perlu diperluas ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, program seperti ini juga dilihat dapat menyemarakkan lagi semangat golongan kurang upaya untuk turut serta di dalam penganjuran berkaitan ilmu al-Quran.

Pasti ramai yang tidak mengetahui kaedah yang digunakan tetapi melalui program ini juga orang ramai dapat mengetahui kaedah yang telah diwujudkan seperti kod tangan atau braille.

Banyak bakat baharu yang dapat dicungkil seterusnya dapat memartabatkan ilmu al-Quran kepada umat Islam di samping menyemai pelbagai nilai murni di sebalik acara yang boleh dikira sebagai majlis ilmu.

Hadir menyempurnakan majlis penutup program itu ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri, Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran UM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff serta barisan tertinggi Yayasan Faqeh dan barisan pengurusan tertinggi KUIS. – www.kuis.edu.my