Dalam menjaga kesihatan mata, kita sebenarnya perlu menjaga keseluruhan fungsi penglihatan tersebut. Jadi, setiap kali membuat pemeriksaan, anda perlu mengetahui adakah semua fungsi penglihatan anda berada dalam keadaan sempurna.

Bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya penjagaan mata selain membantu mereka mendapatkan pemeriksaan yang sempurna, Management & Science University (MSU) baru-baru ini te­lah mengambil inisiatif menganjurkan program berkaitan kesedaran penjagaan kesihatan mata, MSU Optometry & Vision Science Exhibition and Seminar (MOVES 2.0).

Program anjuran bersama MSU Eye Centre dengan Fakulti Sains Hayat dan Kesihatan melalui Jabatan Optometri dan Sains Visual universiti itu diadakan secara dwitahunan yang mana kali ini merupakan edisi kedua penganjurannya.

MOVES 2.0 diadakan bertujuan mendidik warga kampus khusus­nya dan masyarakat amnya me­ngenai kepentingan penjagaan mata yang disampaikan melalui seminar, pameran, khidmat komuniti dan kutipan dana amal. Program itu sememangnya memberi banyak kebaikan kepada masyarakat kerana ia melibatkan kehadiran optometri, pengamal penjagaan kesihatan mata, pelajar, wakil industri dan ahli akademik.

Program itu juga adalah satu platform untuk memperkasakan penjagaan kesihatan melalui lapan elemen aktiviti iaitu Care Your Eyes (CUREs), Walk in The Dark (WiD), MSU Young Ambassador for Better Eyesight for Tomorrow (MyBEST), Search for Entrepreneur and Development Skills (SeeDs), Alumni Interaction and Networking (AIN), Explore to Exhibit (E2E), Growing Wellrounded Individual (GroW-l) dan MSU Optometry Student Se­minar (MOSSEM).

Antara seminar yang dijalankan ialah Dry Eyes and Types of Artificial Tears, Care and Management, Allergic Eye, Usage of Anti Histamin, Understanding Retinal Abnormally for Diabetic Make Easy dan Primary Eye Care and Diabetic Retinopathy.

Bagi memperluaskan kerjasama dengan rakan industri terutamanya dalam bidang optometri, MSU telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lima rakan industri iaitu Maxvue Vision Sdn. Bhd., Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd., Institut Integrasi Utama Avicenna, Topcon Instruments (M) Sdn. Bhd. dan Nur Perdana Optometry.

Memorandum persefahaman itu juga merupakan sebahagian daripada perancangan strategik MSU ke arah menyuntik komponen industri dalam kurikulum program pengajiannya serta meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan MSU. Program itu dirasmikan oleh Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid. Turut hadir mermeriahkan pelancaran adalah barisan pengurusan kanan universiti, rakan industri serta para pelajar.