Menyedari keperluan itu, pelbagai inisiatif telah dilakukan MSU College Shah Alam bagi melengkap­kan pelajar­nya dengan kemahiran lain sebagai satu nilai tambah yang mampu menjadikan mereka lebih berketrampilan.

Usaha itu juga bagi merealisasikan matlamat institusi dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan seimbang daripada aspek akademik dan kemahiran insaniah.

Baru-baru ini, MSU College Shah Alam menerusi Unit Pembangunan Pelajar dan Kelab Saintis Muda te­lah menganjurkan program kepemimpinan, Attitude Responsibilities Motivation Youth (ARMY) di Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang yang disertai seramai 31 pelajar daripada pelbagai program pengajian.

Program dua hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu latihan dalam kumpulan serta aktiviti ketahanan fizikal.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah zumba, malam kebudayaan, merentas halangan, night walk, flying fox, latihan kawad kaki dan membina rakit air.

Program tersebut bukan sahaja dapat mengasah kepimpinan pelajar, tetapi turut memberi pendedahan tentang kemahiran membentuk pasukan, kemahiran merancang aktiviti serta kecemerlangan diri yang disampaikan sendiri oleh alumni MSU College Shah Alam.

Menurut salah seorang peserta, Nurul Alaina Suhada Abdullah, program kepemim­pinan itu banyak memberi pendedahan serta panduan bermanfaat untuk bergelar pemim­pin dalam sesebuah orga­nisasi.

“Kem ini melatih kami menjadi bakal pemimpin yang lebih berani, rasional dalam menangani sebarang situasi, sekali gus memberi satu pengalaman berguna yang boleh dikongsikan de­ngan rakan-rakan lain,” katanya.