Sempena mengambil keberkatan bulan Ramadan, Management and Science University (MSU) tidak ketinggalan meraikan anak-anak yatim pada satu majlis berbuka puasa yang diadakan di Dewan Canselor universiti itu di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Majlis Iftar Canselor MSU yang merupakan acara tahunan universiti itu bertujuan meraikan golongan tidak bernasib baik serta memupuk budaya memberi dan ber­syukur.

Berkenan mencemar duli meng­hadiri majlis tersebut adalah Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun yang juga merupakan Canselor MSU. Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Pada maj­lis tersebut, uni­versiti itu melalui Ya­ya­san MSU telah menyumbang sebanyak RM150,000 kepada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) iaitu sebuah yayasan berasaskan kebajikan yang ditubuhkan untuk membela nasib kanak-kanak kurang bernasib baik terutama­nya anak-anak yatim dan tiada pembelaan serta mereka yang memerlukan bantuan pendidikan.

Pada majlis itu, Yayasan MSU turut menyampaikan wang zakat bernilai RM130,000 kepada 20 buah rumah kebajikan, termasuk duit raya kepada 200 orang penghuni rumah kebajikan terbabit.

Antara rumah kebajikan terlibat ialah Rumah Kasih Harmoni, Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku, Home of Hope Al Khaadem, Pakat Shelter Home, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih, Rumah Nur Sakinah, Rumah Nur Sakinah serta Rumah Anak Yatim Yayasan Al Amin.

Setiap tahun, Yayasan MSU akan memberi sumbangan menerusi agihan zakat, bantuan kewangan, biasiswa dan tajaan pengajian bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global merangkumi negara seperti Kazakhstan, Sri Lanka, India, Vietnam, Indonesia, Syria, Palestin dan Bosnia.

Majlis penyerahan zakat itu adalah acara tradisi MSU dan ia mencerminkan komitmen universiti itu dalam meme­nuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan usaha me­nyuburkan budaya bersyukur dan memberi dalam kalangan warga kampusnya.

Melalui program MSU Ihya Ramadan diadakan juga pelbagai aktiviti melibatkan warga kampus dan komuniti setempat dengan memberi tumpuan kepada rumah-rumah kebajikan, sekolah, hospital, anak yatim, ibu tunggal, masyarakat Orang Asli dan penduduk, miskin bandar.

Aktiviti berbentuk pertandingan turut diadakan iaitu Ramadan Street Melody, Ramadan Accoustica, pertandi­ngan tulisan khat, kuiz Ramadan dan Muslimah Runaway.

Turut hadir memeriahkan maj­lis adalah pegawai-pegawai pengurusan kanan MSU dan MSU College, pensyarah, kakitangan, penghuni rumah-rumah kebajikan dan pelajar.