Pertandingan ini adalah salah satu daripada program dirancangkan menerusi Homecoming Fiesta 2016 yang diadakan bersempena Majlis Graduasi kali ke-20 Kumpulan Kolej PTPL, baru-baru ini.

Penganjuran MPAC 2016, edisi ketiga ini merupakan platform kepada pelajar-pelajar sekolah menengah menonjolkan bakat mereka dalam bidang kebudayaan dan kesenian selain bagi menerapkan budaya kecemerlangan

Peserta bersaing dalam empat kategori acara iaitu Tarian Tradisional/Moden (Fusion), Tarian Zumba, Peralatan Muzik Tradisional (gamelan, cak lempong, angklong, sape, sompoton, erhu, sitar, kompang dan lain-lain) dan Nyanyian Solo/Duo.

MPAC 2016 telah disertai 1,000 peserta yang mewakili 61 buah sekolah menengah dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Antara sekolah-sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Puteri, SMK Bandar Baru Ampang, SMK Bandar Baru Sungai Buloh, SMK Aminuddin Baki, SMK Convent (M) Kajang, MRSM Tun Ghaffar Baba, MRSM Mersing dan MRSM Serting.

Pertandingan kali ini, buat kali pertama, turut disertai sebuah sekolah dari Indonesia, SMA Labschool, Jakarta.

Secara keseluruhannya, MPAC 2016 menawarkan hadiah berupa wang tunai bernilai RM11,000, biasiswa bernilai RM50,000, trofi dan sijil penyertaan.

Majlis penutupan pertandingan ini disempurnakan oleh Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab Yajid.

Yang hadir sama kakitangan pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Indonesia, wakil-wakil sekolah, guru-guru pengiring serta peserta.