Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Rahmah Mohamed ber­kata, proses penilaian yang mengambil masa sehingga tujuh bulan itu dibuat menggunakan kaedah penilaian dan pentaksiran baharu yang meningkatkan kemahiran guru serta mengukuhkan lagi jari­ngan kerjasama dengan industri.

Menurutnya, program pengajian dan kelayakan itu perlu melalui proses jaminan kualiti selaras dengan standard dan kriteria yang ditetapkan dan mematuhi kerangka kelayakan Malaysia serta menepati sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Pengiktirafan penuh daripada MQA adalah amat penting bagi memastikan pelajar lepasan kolej vokasional diberi peluang me­lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kita bertindak sebagai pemudah cara dan penilaian meliputi pelbagai aspek.

“Semua aspek perlu diberikan perhatian kerana kita mahu kan­dungan pengajian berkualiti ke­rana mahu kolej vokasional melahirkan graduan dan modal insan yang holistik serta mempunyai kemahiran dan diiktiraf industri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu MQA 2018 di sini hari ini.

Menurut Rahmah, pihaknya menerima sebanyak 360 permohonan daripada kolej vokasional pada Disember tahun lalu dan permohonan itu masih dalam peringkat penilaian meliputi aspek klinik bimbingan, panduan dan latihan kemahiran sebelum penganugerahan akreditasi.

Terdahulu, Rahmah ketika ber­ucap dalam majlis ber­kenaan mahu kakitangan MQA mengekalkan kecemerlangan agensi itu yang diiktiraf di persada antarabangsa terutama di rantau ASEAN sebagai agensi jaminan kualiti berwibawa dalam menjamin kualiti pendidikan tinggi negara.

“Saya turut bangga MQA telah disenaraikan bagi anugerah The PIEoneer Awards 2017 yang pasti akan memperhebatkan lagi profil MQA dan promosi MQA di peringkat antarabangsa. Adalah menjadi tanggungjawab kita di semua peringkat untuk mengekalkan prestasi bagi mendapatkan pengiktirafan sebegini,” katanya.

Beliau turut menyeru semua warga MQA supaya sentiasa berintegriti dalam menjalankan tugas masing-masing kerana pihaknya akan sekali lagi dinilai dalam surveillance audit untuk menentukan tahap pelaksanaan sistem pengurusan antirasuah agensi tersebut.