Mohammad Shatar, 50, yang memulakan tugasnya pada 24 Februari lalu menggantikan Datuk Dr. Zakaria Kasa yang bersara wajib berkata, beliau mahu menjadikan UPSI sebagai pilihan pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) , matrikulasi serta diploma melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, untuk mencapai matlamat tersebut setiap warga UPSI perlu memberikan komitmen dan bersatu padu tanpa mengira pangkat dan kedudukan di UPSI.

“Saya menetapkan sasaran tiga tahun untuk mencapai matlamat tersebut. Untuk mencapainya semua kakitangan perlu memberi fokus kepada usaha meningkatkan kecemerlangan diri dan universiti malah perlu menganggap UPSI sebagai rumah dan keluarga sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Shatar dilantik sebagai Naib Canselor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 24 Februari 2017 hingga 23 Februari 2020.

Menurutnya, beliau mahu mengembalikan nostalgia ke­gemilangan UPSI yang sebelum ini menjadi pilihan nombor satu untuk golongan pendidik melanjutkan pengajian ketika ia dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).

Katanya, UPSI sememangnya dikenali sebagai wadah melahirkan generasi pendidik yang di­segani, dihormati dan disanjungi.

“Saya mahu mengembalikan kegemilangan UPSI dan mahu golongan pendidik yang dilahirkan di sini berupaya membuat transformasi dalam bidang pendidikan negara,” katanya.