Ketua projek Merge 2017, Fatrisha Mohamed Yussof berkata, selain peserta tempatan terdiri daripada pensyarah dan pelajar, pameran berkenaan turut melibatkan dua wakil daripada Indonesia yang mengambil bahagian mempamerkan hasil kerja mereka.

“Dua wakil berkenaan ialah pensyarah Universitas Sebelas Maret (UNS), Adam Wahida serta pelajar universiti sama, Satria Yuwan yang mempamerkan karya masing-masing bagi kategori grafik digital.

“Satria mempamerkan karya yang diberi sentuhan budaya popular bertajuk Kahio manakala Adam menghasilkan karya dengan menggunakan trend selfie sebagai idea asas dan dimanipulasi menggunakan imej digital supaya nampak lebih menarik,” katanya.

Majlis pembukaan Merge 2017 disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zainuddin.

Jelas Fatrisha, pameran selama 20 hari bermula hari ini dibahagikan kepada dua kategori untuk profesional mahupun pelajar iaitu kategori tipografi dan kategori grafik digital.

“Selain dua peserta luar negara tersebut, pameran berkenaan turut menghimpunkan sebanyak 60 pengkarya terdiri daripada pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Program ini membolehkan mereka bersama menghasilkan karya serta platform bertukar idea baharu,” tambahnya.