Program yang diadakan di kampus UPM, Serdang, Selangor itu diserikan dengan pelbagai aktiviti yang berorientasikan nilai-nilai integriti yang bertujuan menarik minat golongan mahasiswa untuk bersama-sama menyertai usaha pemupukan budaya berintegriti dan secara langsung menghayati dengan lebih mendalam makna nilai-nilai integriti.

Selain itu, Putra Integrity Walk yang melibatkan penyertaan seramai 400 orang turut diadakan.

Dalam pada itu, Forum Eksekutif yang diadakan di sebelah malam pula mengupas topik Melestarikan Ihsan Dalam Mendepani Kehidupan Berintegriti.

Ahli panel terdiri daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah Integriti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dan Exco Siswazah Muda Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun.

Kemuncak sambutan adalah pelancaran Kempen Do It Right - Integriti Di Hati yang mengumpulkan tandatangan lebih 1,000 pelajar sebagai simbolik komitmen mereka dalam mencapai matlamat PIN dan visi Integriti.

Visi Integriti, yang ditubuhkan pada 23 April 2004 itu bermatlamat membantu Malaysia ke arah mencapai negara berintegriti tinggi, yang berdaya tahan dan mengamalkan nilai-nilai murni sejagat.

Dalam ucapannya pada Forum Eksekutif dan pelancaran kempen itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, usaha berterusan seperti ini perlu terus digarap untuk memupuk dan penghayatan budaya integriti, terutamanya dalam golongan belia dan pelajar.

Berdasarkan hasil kajian Integriti yang dijalankan dalam kalangan mahasiswa tahun lalu, menurut Dr. Ahmad Fadzli, menunjukkan golongan mahasiswa perlu diberi bimbingan secara berterusan dan secara holistik dalam aspek penghayatan budaya berintegriti.

Katanya, salah satu hasil kajian menunjukkan satu pertiga daripada responden menyatakan bahawa perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan.

“Ini salah satu contoh mengapa kita perlu menekankan kepentingan budaya berintegriti dalam kalangan orang muda seperti pelajar universiti. Oleh itu, perlu ada usaha untuk menangani persekitaran seperti itu dalam jangka panjang. Program seperti ini diyakini akan membantu ke arah itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program Fiesta Integriti, Dr. Ahmad Fadzli berkata, ini kali pertama sambutan ulang tahun penubuhan Integriti diadakan di kampus universiti, dan ia antara lain bertujuan mendekati golongan belia dalam usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi.

“Ini selari dengan seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri program Diskusi Intelektual pada 16 Januari yang lalu, di mana beliau antara lain berkata semua pihak perlu bersatu tenaga bagi menjadikan agenda pembudayaan dan penghayatan integriti sebagai satu gerakan massa,” katanya.

Oleh itu, jelas Dr. Ahmad Fadzli, usaha berterusan dengan sokongan dan gandingan semua pihak sudah pasti akan membantu negara untuk mencapai objektif PIN.