Namun anak kepada seorang buruh itu tetap tidak berputus harap kerana sedar kejayaan dalam pelajaran adalah peluang terbaik untuk mengubah nasib keluarga sekali gus mendorong empat adiknya belajar lebih bersungguh-sungguh.

Ternyata, tuah memihak Norshafikah, 18, apabila ditawarkan tempat mengikuti pengajian Pra Diploma Perdagangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Lambor semalam berkata, dia terkejut apabila namanya tersenarai untuk mengikuti kursus tersebut di UiTM Machang selepas membuat semakan melalui online.

''Sebaik menerima tawaran tersebut saya amat bersyukur kerana inilah masa dan peluang yang saya tunggu-tunggu selama ini untuk mengubah nasib keluarga.

''Usaha UiTM mewujudkan program ini amat dihargai kerana memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga miskin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Norshafikah berkata, peluang yang diberikan itu akan digunakan sebaik-baiknya bagi membuktikan anak luar bandar yang tidak berkemampuan masih boleh berjaya sekiranya diberikan peluang.

Lebih istimewa, surat tawaran diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar ketika mengunjungi rumahnya semalam.

Sebelum itu, rombongan tersebut menghadiri majlis Menyampaikan Surat Tawaran ke UiTM dan Waran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu di sini semalam.

Dalam kunjungan tersebut, pihak UiTM dengan UMNO Bahagian Tumpat bersama rombongan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas termasuk beras kepada keluarga Norshafikah.

Sementara itu, bapa Norshafikah, Ismail Salleh, 49, seorang buruh kampung melahirkan rasa terharu di atas keprihatinan UiTM.

"Saya amat bersyukur kerana anak sulung saya diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana ia akan membakar semangat adik-adiknya yang lain agar belajar bersungguh-sungguh.

''Peluang ini saya harap digunakan sebaik-baiknya oleh Norshafikah memperoleh kejayaan kerana dengan cara itu peluang memperoleh pekerjaan yang baik akan berpihak kepadanya sekali gus mengubah nasib keluarga," katanya.