Pengarah Eksekutif Kumpulan MATA, Datuk Sulaiman Dahlan berkata, sehingga kini MATA berjaya menghasilkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran terutama dalam bidang penyelenggaraan penerbangan.

“MATA menawarkan dua bidang kelulusan kepada setiap graduan iaitu Diploma Vokasional Malaysia dan Lesen Penyelenggaraan Pesawat Juruteknik yang merupakan satu kelebihan kepada mereka.

“Dari situ mereka boleh memi­lih sama ada untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi atau masuk ke pasaran pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-4 MATA di Dewan Jubli Perak di sini semalam

Pada majlis tersebut seramai 466 graduan menerima diploma masing-masing.

Menurut Sulaiman, oleh kerana penerbangan mempunyai risiko tinggi terutama aspek keselamatan me­libatkan nyawa penumpang, per­tauliahan yang sah daripada peringkat antarabangsa sangat diperlukan bagi memastikan MATA diiktiraf di peringkat global.

“Sebanyak RM9 juta diperuntukkan bagi mewujudkan tempat praktikal baharu di Johor Bahru dalam usaha melahirkan mahasiswa berkualiti dan berdaya saing.

“Di sana terdapat kemudahan kelengkapan penerbangan yang serba lengkap seperti peralatan penuh kapal terbang, sebuah kapal terbang untuk latihan, pe­ngangkutan dan bilik kuliah,” jelasnya.

Tambahnya, MATA yakin da­pat meletakkan graduannya da­lam bidang pasaran pekerjaan berikutan tahap kelayakan tinggi yang di iktiraf.

“MATA turut mengadakan hu­bungan baik dengan Air-Asia sejak awal Februari lalu bagi me­rancakkan lagi industri penerbang­an di Malaysia,” jelasnya.