Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri sudah melantik pakar perunding membuat penyelidikan dan laporan lengkap berhubung masa depan dan keperluan menaik taraf Marsah menjadi kolej universiti.

“Kita mahu sistem pendidikan Islam dikembangkan lagi dan harap rancangan menaik taraf kolej ini akan mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun depan selepas kita melengkapkan proses permohonan yang perlu dipatuhi.

“Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Johor juga akan membantu Marsah dari segi modal untuk menaik taraf kolej ini. Sekiranya beroperasi nanti, ia akan terbuka bukan hanya untuk rakyat Johor tetapi juga guru dari seluruh negara bagi program ijazah pendidikan Islam,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Konvokesyen Marsah Ke-17 melibatkan 240 graduan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Marsah mempunyai potensi dan kedudukan yang tepat untuk memainkan peranan lebih besar dan strategik dalam memenuhi keperluan melahirkan pendidik dan guru agama yang terbaik.

“Marsah perlu diberikan mandat menjadi institut melatih pendidik atau guru agama kerana kita bukan sahaja memerlukan graduan pengajian Islam yang terbaik, tetapi juga pendidik dan guru agama yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru graduan Marsah memainkan peranan membangunkan umat Islam di Johor dan Malaysia secara keseluruhannya bagi mengukuhkan nilai-nilai dan karakter Islam agar bagi mengatasi masalah kemerosotan moral dalam masyarakat.

“Dengan ilmu yang ada pada kalian, ilmu yang bersandarkan wahyu, ilmu bersandarkan tauhid maka kalian harus berperanan lebih besar untuk membangunkan bangsa dan umat Islam di Johor dan Malaysia ini.

“Kalian harus menjadi benteng moral Johor yang berkemajuan, menjadi pendiri karakter Johor berkemajuan dan menjadi barisan hadapan membangunkan karakter sangat kukuh nilai-nilai Islam terutamanya dari segi akhlak,” katanya.