Mesin sepanjang 26.18 meter yang terdiri daripada 21 stesen itu menghasilkan tindakan berantai dengan mempamerkan 34 prinsip asas fizik termasuk Hukum Newton Ketiga berkaitan momentum, pengaliran elektrik dan kilasan.

Pengarah Projek, Amy Nur Fatin Mohd. Imran berkata, me­sin yang dihasilkan oleh mahasiswa dalam bidang kejuruteraan itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Antara cabaran utama untuk menghasilkan mesin ini ialah setiap bahagiannya mudah pecah dan ini merupakan kali pertama keseluruhan operasinya berjalan lancar dalam satu percubaan.

“Ketika sesi latihan dibuat kira-kira dua jam sebelum percubaan, operasinya tidak selancar ini,” katanya ketika ditemui dalam Pame-ran Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (TEC) 2017 yang diadakan di UTP, Seri Iskandar baru-baru ini.

Program tersebut yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 UTP disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dan turut dihadiri oleh Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Madius berkata, budaya inovasi dan kemahiran keusahawanan perlu di­terapkan serta dimiliki oleh para mahasiswa.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja mampu menyumbang kepada perkembangan usahawan tekno malah membawa kepada pengkomersialan kajian dan pembangunan (R&D) di negara ini.