James Lian Yoon Chen, 24, graduan ijazah Sarjana Muda Doktor Pergigian dengan Kepujian dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM muncul sebagai graduan ijazah sarjana muda paling cemerlang mengatasi dua lagi graduan ijazah sarjana muda dari institusi pendidikan tinggi (IPT) lain.

Majlis penganugerahan pingat tersebut disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut James, dia terharu dan tidak menyangka terpilih menerima anugerah emas tersebut yang disifatkan satu pengiktirafan tertinggi dalam hidupnya.

“Saya tidak akan lupa de­ngan pengalaman yang USM berikan dalam mencorak kehidupan saya, dan saya akan terus berusaha agar cemerlang dalam setiap bidang diceburi termasuk dalam profesion sebagai doktor pergigian,” katanya.

Anugerah itu membolehkan James menerima hadiah berupa emas padu seberat 32 gram serta wang tunai RM5,000.

Anugerah Pingat Tunku diperkenalkan sejak 1979 dan diberikan Yayasan Tunku Abdul Rahman kepada graduan kelas pertama ijazah sarjana muda dari kalangan graduan IPT tempatan yang mencapai tahap kecemerlangan tinggi seterusnya menyumbang kepada pemba­ngunan negara.

Selain kecemerlangan akademik, pencapaian yang tinggi dari segi kokurikulum dan kepe­mimpinan juga diambil kira sebagai kriteria pemilihan.

Pingat perak dimenangi gra­duan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, Universiti Sains Islam Malaysia, Hanisah Hassan manakala graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) de­ngan Kepujian, Universiti Putra Malaysia, Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof menerima pingat gangsa.