Sehubungan itu, Pemangku Na­ib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Lef­tenan Kolonel Kehormat Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Prof. Datuk Dr. Adnan Hussein berkata, beliau mahu melihat mahasiswa khususnya yang dilahirkan di USM terus ke hadapan dan menjadi pelapis kepemimpinan buat negara.

Dalam melahirkan seorang pe­mimpin yang berkualiti, ujar beliau, ilmu pengetahuan merupakan aspek penting sekali gus menjadikan mahasiswa berkete­rampilan dan disegani.

“Di samping itu, mahasiswa juga perlu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial,” katanya ketika ber­ucap merasmikan Hari Perbari­san Pembukaan Latihan Badan Beruniform Sidang Akademik 2017/2018 di Padang Kawad USM di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Adnan turut diberi penghormatan melakukan pemeriksaan perbarisan di hadapan 300 orang kontinjen badan-badan beruniform.

Majlis itu turut diserikan de­ngan persembahan patriotik ma­hasiswa-mahasiswa dari gabu­ngan badan beruniform Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Sispa) dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis).

Sementara itu, Adnan berkata, selain kecemerlangan akademik, penyertaan dalam pelbagai aktivi­ti kokurikulum dan badan-badan unit beruniform amat membantu mahasiswa memenuhi aspek pe­mimpin masa depan.

Ujarnya, universiti menyediakan pelbagai aktiviti kokurikulum kepada mahasiswa supaya mereka merasai peluang berinteraksi di samping meningkatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan bijak menyelesaikan masalah.

“Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum juga boleh dijadikan wadah untuk memper­kukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum,” katanya.