Antara anugerah yang diterima oleh universiti itu ialah Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pendidikan Global (Alda), Anugerah Kedutaan Besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rangkaian Global Malaysia dan Anugerah Kepimpinan Transformasi Pendidikan Antarabangsa 2019 (Asic) United Kingdom.

Turut diterima Anugerah Ikon Legenda Inovasi The Bizz, Anugerah Kepimpinan Perniagaan Global-Ikon Transformasi Perniagaan, Anugerah Kejayaan Pertubuhan Belia Komanwel, Anugerah Kepimpinan Inovasi dan Global Pendidikan (Asic) dan Anugerah Ikon Legenda Inovasi Global Perniagaan Dunia Amerika Syarikat.

Universiti Limkokwing dalam satu ke­nyataan berkata, kejayaan pelbagai anugerah yang diterima meletakkan Malaysia antara negara yang mempunyai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang berdaya saing dan bertaraf dunia sehingga berjaya melahirkan graduan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Menurut kenyataan itu, Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing telah memacu bidang pendidikan sejak 50 tahun lalu. Beliau setia berkhidmat membantu negara dan berjaya meletakkan martabat pendidikan negara ke tahap tertinggi sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Bidang pendidikan yang dilaksanakan Universiti Limkokwing hari ini dilihat telah berjaya memperkasakan kualiti pendidikan Malaysia di peringkat global.

“Ini dibuktikan dengan kejayaan demi kejayaan serta pengiktirafan pelbagai anugerah yang diterima Universiti Limkokwing atas kualiti pendidikan tinggi ditawarkan yang membolehkan Malaysia bersaing dalam ekonomi dunia,” jelas kenyataan itu.

Sistem pendidikan di Universiti Limkokwing kini diiktiraf terbaik di dunia hasil komitmen bantuan kerajaan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan berkualiti tinggi.

“Kejayaan merangkul pelbagai anugerah itu amat bermakna buat Universiti Limkokwing kerana disampaikan sendiri pemimpin-pemimpin dunia dan tokoh pendidikan terkemuka dunia,”katanya.

Anugerah-anugerah itu dikurniakan kepada Universiti Limkokwing dan Kok Wing sendiri atas kecemerlangan bidang akademik dan kokurikulum serta kepimpinan yang menyumbang bakti kepada masyarakat antarabangsa.