Kejayaan itu dibuktikan apabila salah satu kampusnya di Botswana berjaya melahirkan 14,000 graduan yang memenuhi keperluan pasaran dan industri sejak beroperasi pada 2007.

Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, perbezaan sistem pendidikan di Universiti Limkokwing dengan yang lain adalah daripada aspek program dan modul yang diper­kenalkan setaraf antarabangsa.

“Dalam usaha memastikan gra­duan mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian, modul yang dibina bagi setiap program adalah berdasarkan keperluan industri di Boswana yang mampu memberi perubahan yang besar dalam sosioekonomi negara ber­kenaan.

“Ini dibuktikan apabila graduan di Botswana hari ini menjadi penyumbang kepada pembangunan negara itu selain menjadi pe­neraju dalam industri digital dan kreatif ke arah membawa masa depan Botswana yang lebih baik.

“Dalam tempoh 10 tahun ini juga, graduan kami telah berjaya mencapai peratusan tertinggi da­lam kebolehpasaran kerja hasil keberkesanan pelbagai usaha dan langkah yang diambil universiti di Botswana. Ini termasuk lebih 100,000 graduan dari 165 buah negara yang belajar di universiti ini telah berjaya mendapat pekerjaan,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 950 pelajar Universiti Limkokwing Botswana menerima ijazah dan diploma dalam Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing Botswana 2017 yang berlangsung di dewan utama universiti itu.

Mereka terdiri daripada gra­duan Fakulti Inovasi Reka Bentuk, Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Komunikasi dan Media, Fakulti Arkitek dan Hiasan Dalaman.

Selain itu, graduan yang turut menerima ijazah dan diploma pada majlis itu adalah daripada Fakulti Perniagaan dan Globalisasi serta Fakulti Teknologi bagi sesi 2015.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Naib Pre­siden Botswana, Mokgweetsi Masisi.

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, kerajaan Botswana memerlukan kerjasama semua pihak termasuk dari Universiti Limkokwing untuk membantu me­ningkatkan peratusan kumpulan kerja mahir­nya ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2026.

“Usaha meningkatkan peratusan tenaga mahir itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh memandangkan Botswana masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang berban­ding negara lain ketika ini.

“Universiti Limkokwing akan melahirkan lebih ramai pe­mimpin dan graduan dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, audio dan visual, muzik, filem dan televisyen selain bidang bidang multimedia kreatif serta perhubungan awam.

“Inilah bidang pilihan Botswana Television yang telah menggunakan khidmat lebih daripada 60 peratus graduan Limkokwing,” ­katanya.