Walaupun jumlah ini tidak terlalu tinggi, namun secara umumnya ia agak membimbangkan. Realitinya, bukan kerana tidak mempunyai keputusan yang baik, malah terdapat segelintir memperoleh gred tinggi dan bergelar antara pelajar terbaik, namun pengangguran masih berlaku.

Permasalahan ini berlaku antaranya kerana selain persaingan pasaran pekerjaan yang diakui semakin pesat, kurang kemahiran ketara dalam kalangan pekerja atau siswazah baharu merupakan masalah sering dibangkitkan majikan.

Sehubungan itu, Projek Tahun Akhir (FYP) Kuliah Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan antara usaha dilakukan universiti itu bagi melahirkan pelajar yang ‘boleh dijual’ dalam pasaran.

Pemangku Dekan Kuliah ICT, UIAM, Profesor Dr. Abd. Rahman Ahlan berkata, setelah tiga tahun belajar dalam jurusan masing-masing secara teori, tahun akhir atau tahun empat merupakan tugasan utama buat mereka kerana perlu menyiapkan projek yang ditugaskan dalam bentuk praktikal.

“Pelajar tahun akhir Kuliah ICT perlu membangunkan aplikasi mereka sendiri sama ada dalam kumpulan atau individu. Antara kriteria ditetapkan, aplikasi itu hendaklah mengenal pasti sesuatu masalah dan hasilkan penyelesaiannya dengan bantuan teknologi.

“Semua idea dan kemahiran terletak kepada kreativiti pelajar itu sendiri di samping bantuan seorang penyelia dilantik bagi membantu. Kita akui tidak semua sempat didedahkan kepada pelajar.

“Oleh itu, pelajar perlu membuat kajian dan mencari kaedah serta alat bersesuaian untuk membangunkan sistem ciptaan. Ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pelajar itu sendiri, selain menjadi nilai tambah dalam pasaran, ia turut melatih mereka menjadi teknopreneur (usahawan tekno) yang mampu membuka syarikat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertunjukan Projek Tahun Akhir (FYP), sempena program ICT On Web (IOW) Kuliah ICT, di UIAM, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

 

TEMBUSI PASARAN DOMESTIK, DUNIA

Abd. Rahman berkata, tidak terhenti di situ, setiap aplikasi dibangunkan adalah menjadi hak milik pelajar dan mereka digalakkan untuk menambah baik aplikasi masing-masing agar dapat dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sehingga kini sudah terdapat beberapa aplikasi dibangunkan pelajar telah menembusi pasaran.

“Ini yang kita sangat galakkan, sekurang-kurangnya mereka mempunyai produk sendiri setelah tamat pengajian.

“Selain itu, di UIAM sendiri terdapat anak syarikat IIUM Advanced Technologies Sdn. Bhd. yang bertujuan mengkomersialkan produk penyelidikan, aplikasi telefon pintar dan analisis berkaitan teknologi di universiti. Pelajar boleh mengambil kesempatan ini untuk menambah baik aplikasi yang dibangunkan, sekali gus dipasarkan,” ujarnya.

Tambahnya, pihak universiti turut menggalakkan pelajar untuk berniaga dengan memberi peluang kepada mereka yang layak membuka kedai dalam kampus sebagai permulaan.

“Kita menyokong pelajar untuk membuka perniagaan sendiri. Antaranya menyediakan tapak perniagaan yang boleh disewakan.

“Dengan kebolehan yang mereka bakal peroleh ini diharap membantu lepasan pelajar untuk berhadapan dengan dunia industri,” katanya.