Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan tulang, Persatuan Sains Perubatan Antarabangsa (Medsoc) Universiti Sains Malaysia–Karnataka Lingayat Education (USM-KLE) menganjurkan Larian Ortopedik di kampus itu, baru-baru ini.

Larian yang bertemakan Run To Eradicate Osteoporosis itu telah disertai 152 pelajar USM-KLE termasuk pelajar antarabangsa dari Perancis.

Majlis perlepasan larian itu telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus USM-KLE, Prof. Dr. HB Rajashekar yang turut disertai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM-KLE India, Ridzuan Jamian.

Ridzuan berkata, larian itu usaha sama antara Medsoc dan pelajar USM-KLE dalam mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga USM dan komuniti setempat.

“Ini antara usaha untuk memupuk kesedaran mengenai kesihatan tulang.

“Para peserta didedahkan dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan tulang menerusi teknik pemakanan dan senaman yang betul,” katanya.

Ridzuan juga berkata, larian ini mendorong warga USM dan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah positif bagi mencapai gaya hidup yang lebih sihat.

Katanya, acara tersebut merupakan inisiatif yang mendorong orang ramai meneruskan langkah positif menuju ke tahap kesihatan penjagaan tulang yang lebih baik.

Menurutnya, komitmen berterusan USM dalam program kesihatan seumpama ini dapat membantu menyumbang kepada melahirkan modal insan negara yang lebih sihat pada masa depan.