Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, UMK telah berjaya membangunkan Pusat Penerbitan MOOC universiti itu yang ditaja melalui geran Kesatuan Eropah (EU) di bawah program pembiayaan ‘Erasmus+’.

"Kita ucapkan syabas kepada UMK yang unik dan menjadi satu-satunya universiti tempatan perkasakan MOOC melalui jalinan kerjasama dengan EU berbanding meminta bantuan kementerian.

"Sehingga kini UMK juga mampu menawarkan 36 kursus atas talian berbanding purata 20 kursus yang ditawarkan oleh MOOC universiti lain," katanya semasa berucap merasmikan Pusat Penerbitan MOOC UMK di Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar; Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Sdn. Bhd. yang juga Ahli Senat (Industri) UMK, Tan Sri Dr Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Ahli Lembaga Pengarah UMK, Zulkifli Mohd Zan.

Hamisah turut meluangkan masa memberi taklimat mengenai Revolusi Industri 4.0 kepada lebih 50 tenaga akademik dan pelajar. - UTUSAN ONLINE