Dalam tempoh 49 tahun itu, TAR UC telah mendidik lebih 190,000 pelajar yang keba­nyakannya mempunyai kerjaya profesional, menjadi pemimpin industri, pemimpin negara dan usahawan berjaya di Malaysia serta luar negara.

Rekod kecemerlangan itu adalah hasil daripada laluan inovatif TAR UC yang telah dikemaskini berdasarkan perubahan pasaran dan keperluan industri bagi memastikan para pelajar di TAR UC diberikan mutu pendidikan terbaik yang membolehkan mereka menjadi pemimpin di masa hadapan.

Laluan akademik TAR UC juga telah distrukturkan bagi memastikan lepasan sekolah yang memasuki institusi itu mencapai kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk memudahkan lagi mereka menceburi dunia pekerjaan.

Bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin me­nyambung pengajian ke pe­ringkat ijazah, mereka mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mengikuti program prauniversiti atau diploma.

Jika lebih berminat membuat persediaan akademik bagi program ijazah, mereka boleh bermula dengan program prauniversiti. TAR UC menawarkan program prauniversiti seperti program tahun asas atau A Level bagi membina asas kukuh untuk pelajar memasuki pengajian pe­ringkat sarjana muda.

Program tahun asas adalah kursus intensif selama setahun yang direka khas sebagai persediaan kukuh untuk pelajar melanjutkan pengajian sarjana muda di TAR UC.

Sementara itu, A Level pula adalah kursus prauniversiti selama satu tahun setengah yang juga membina asas kukuh bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian sarjana muda di TAR UC atau universiti lain di seluruh dunia.

TAR UC menawarkan hampir 50 program peringkat ijazah dan semua program tersebut untuk tempoh tiga atau empat tahun.

Selain itu, lepasan SPM yang mempunyai perancangan jelas untuk kerjaya mereka juga boleh memilih program diploma di TAR UC. Terdapat lebih 50 program diploma yang ditawarkan melalui enam fakulti iaitu Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pengkomputeran dan Teknologi Maklumat, Fakulti Perakaunan, Kewangan dan Perniagaan; Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina serta Fakulti Sains Sosial, Seni dan Kemanusiaan.

Tempoh pengajian program diploma adalah di antara dua hingga dua setengah tahun. Pelajar yang tamat pengajian diploma di TAR UC juga boleh mela­kukan pemindahan kredit dan mendaftar untuk program ijazah tahun kedua dalam bidang yang sama di institusi tersebut setelah memenuhi syarat-syarat kemasukan minimum.

Selain itu, program-program yang ditawarkan di TAR UC juga diiktiraf oleh badan-badan profesional global dan tempatan seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Institute of Chartered Secreta­ries and Administrators (ICSA), Chartered Institute of Marketing (CIM), Board of Quantity Surve­yors Malaysia (BQSM), Board of Valuers dan Appraisers and Estate Agents Malaysia (BOVAEA).

Bagi pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mereka boleh terus mengikuti program ijazah jika memenuhi syarat kemasukan minimum kerana kelayakan STPN atau UEC adalah setaraf dengan kelulusan prauniversiti.

Pelajar juga boleh memilih untuk mengikuti program dwiijazah kerana TAR UC bekerjasama de­ngan universiti-universiti antarabangsa yang terkemuka untuk menawarkan program dwiijazah. Antara universiti yang terlibat adalah Campbell University di Amerika Syarikat, Coventry University dan Sheffield Hallam University di United Kingdom.

Program dwiijazah TAR UC membolehkan pelajar memiliki dua ijazah sarjana muda yang mana satu adalah daripada TAR UC dan satu ijazah lagi daripada rakan universiti TAR UC di luar negara.

TAR UC juga kini menawarkan program pascasiswazah bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian selepas mendapat ijazah sarjana muda. Pada masa ini, TAR UC menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Sains dalam bidang sains hayat dan sains fizikal.

UNTUK maklumat lanjut tentang program-program di TAR UC termasuk program dwiijazah, sila lawati Hari Terbuka TAR UC yang akan diadakan pada 12 Mac hingga 1 April 2018 dari 9 pagi sehingga 5 petang di kampus induk Kuala Lumpur dan kampus cawangan di Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang dan Sabah. Orang ramai juga boleh melawat ruang pameran TAR UC di pameran-pameran pendidikan utama. Sebagai alternatif, sila layari laman web TAR UC di www.tarc.edu.my