Penglibatan golongan itu juga boleh menjadi pemangkin kepada pencapaian transformasi negara dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Kolej Komuniti Selayang (KKSY) baru-baru ini meneruskan usahanya untuk membudayakan bidang keusahawanan dalam kalangan pelajarnya dengan menganjurkan Program My Best Buy - Karnival Niaga KKSY bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sempena program itu, KKSY turut mengadakan tiga program secara serentak iaitu Pesta Niaga, Pertandingan Rancangan Perniagaan dan Bengkel Keusahawanan Bersama Agensi yang bertemakan Pesta Makanan dan Program Jualan Jimat Belanja Dapur.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Selayang merangkap Koordinator Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim.

Yang turut dihadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Mohd. Nasir Abdul Ghani; dan Timbalan Pengarah FAMA Selangor,Nazam Hussin.

Sementara itu, Md. Nasir dalam ucapannya berkata, kerjasama yang erat antara Kolej Komuniti Selayang dan FAMA diharap dapat meningkatkan pendidikan keusahawanan dikembangkan dalam bentuk akademik dan kokurikulum pada peringkat kolej komuniti.

“Ini dapat dilihat melalui pertambahan penawaran kursus teras dalam mata pelajaran secara tidak langsung dapat mengenal pasti dan mengeluarkan nilai-nilai keusahawanan dalam diri pelajar.

“Setiap insan mempunyai bakat keusahawanan tersembunyi di dalam diri mereka, namun perlu dicungkil. Program ini memberi peluang kepada pelajar atau golongan muda untuk mengenal pasti kelebihan masing-masing untuk melangkah lebih jauh ke arah menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Inti pati program itu bukan sekadar ceramah motivasi dan penerangan kepada persediaan untuk menjadi usahawan, tetapi pelajar dikehendaki menghasilkan produk berdasarkan barangan diberikan dan menjualnya.

Sebanyak 27 gerai dibuka pada Karnival Niaga KKSY yang dikendalikan sepenuhnya oleh pensyarah dan sebanyak 140 pelajar semester akhir KKSY.

Antara yang dijual adalah produk berasaskan makanan, minuman, cenderamata, kosmetik, pakaian dan perhiasan.

Karnival ini turut disertai oleh enam gerai usahawan FAMA yang menjual barangan pasar seperti ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.