Sebagai satu keperluan dan dianggap penting, penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan kualiti mahasiswa yang dilahirkan dalam bidang muzik setaraf antarabangsa.

Justeru, bagi merealisasikan impian itu, Pusat Kebudayaan UM dengan kerjasama pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Muzik baru-baru ini menganjurkan Konsert Muzik bertemakan Musica Per La Vita di Dewan Tunku Canselor UM.

Komponen penting persembahan itu melibatkan seni persembahan pentas dan muzik yang matlamatnya untuk meningkatkan pembangunan seni dan budaya Malaysia.

Pengarah Pusat Kebudayaan UM, Prof. Madya Dr. Mohd. Nasir Hashim berkata, persembahan yang diadakan itu berkonsepkan akustik menekankan irama dan penguasaan alat-alat muzik yang dipersembahkan secara langsung.

“Persembahan ini menjadi platform kepada pelajar jurusan muzik untuk mengetengahkan bakat yang sedia ada, selain mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam bilik kuliah.

“Menariknya keseluruhan majlis ini diuruskan oleh pelajar Pusat Kebudayaan UM bersama pensyarah dan pegawai kebudayaan,” katanya.

Mohd. Nasir berkata, sebelum ini UM berjaya melahirkan ramai lulusan cemerlang dalam bidang akademik.

Namun katanya, pihaknya tidak mahu ketinggalan dalam melahirkan pelajar yang berbakat dalam bidang seni.

“Sebagai universiti yang mempunyai ramai pelajar berbakat, kami mahu membantu mereka mengetengahkan bakat seni masing-masing” katanya.