Program tersebut menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai penganjur utama dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Prince of Songkhla (PSU), Thailand.

Program selama 14 hari itu diadakan bermula 31 Julai sehingga 13 Ogos di beberapa tempat termasuk USM, PSU, UiTM, UUM dan AKEPT.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, penganjuran AFLES membuka peluang kepada semua peserta untuk memupuk dan membangunkan sifat kepemimpinan dalam kalangan mahasiswa.

“Program tersebut juga membantu mengukuhkan jaringan antara rakan-rakan di negara ASEAN,” katanya dalam sidang tersebut.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

AFLES mula diadakan pada 2013 dengan hanya 100 peserta dan tahun ini terdapat seramai 170 orang dari negara ASEAN di samping dua peserta dari Pakis­tan.

Platform AFLES bertujuan memupuk, melatih dan mendidik pemimpin masa depan di institusi pengajian tinggi (IPT) ke arah yang lebih baik dengan saling bergantungan antara generasi muda ASEAN.

Penganjurannya meliputi pel­­bagai aktiviti seperti forum, perbincangan, kuliah, aktiviti luar, kerja-kerja kemasyarakatan, perkhidmatan dan acara kebudayaan.

Aktiviti itu diadakan bertujuan meningkatkan motivasi dalam kalangan belia ASEAN dengan kesedaran mereka mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin masa depan.