Pengarah Urusan KYP, Datuk Norhishamuddin Yaacob berkata, pengurusan kolej tersebut sudah membuat perancangan sejak 2014 ke arah menjadikan KYP sebuah kolej universiti pada tahun depan.

Beliau berkata, antara intipati pelan pembangunan yang dirangka adalah strategi membina imej kolej yang positif dan berusaha melengkapkan penuntut dengan kemahiran insaniah menerusi peningkatan tahap kebolehpasaran mereka.

“Selain itu, KYP juga menambah kemudahan fizikal untuk penuntut dan meningkatkan tahap kualiti staf akademik yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pembelajaran serta pe­ngajaran.

“Langkah yang diambil bagi tujuan ini antaranya meningkatkan tahap kelayakan akademik mereka,” katanya ketika berucap merasmikan konvoi KYP SPM Tour 2017 di KYP Residential College, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Norhishamuddin berkata, KYP SPM Tour 2017 merupakan langkah pengenalan sebelum warga KYP menjelajah ke 146 sekolah di seluruh negeri selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lepas.

Katanya, konvoi itu merupakan salah satu usaha KYP bagi mempergiatkan lagi aktiviti mempromosikan kolej berkenaan di samping memberi konsultasi kepada lulusan SPM tentang kursus yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan mereka.