KVS3P1 menewaskan pasukan MRSM Kulim 6 yang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim pada perlawanan akhir dengan keputusan 4-1.

Sebagai juara, pasukan itu membawa pulang piala iringan, medal, hamper dan sijil pencapaian selepas menewaskan 54 pasukan lain yang terdiri dari 13 politeknik di seluruh negara selain MRSM Kulim dan Institut Teknikal Jepun Malaysia.

Selain pertandingan robot sumo, NIRES 2017 turut me­ngadakan pertandingan sistem terbenam (embedded system) yang melibatkan inovasi teknologi terkini melalui penggunaan platform elektronik Arduino dan Rapsberry PI.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSP, Mohamad Fadzir Basir Ahmad berkata, NIRES 2017 merupakan platform per­kongsian ilmu dan kepakaran termasuk inovasi dan teknologi terkini.

“Di sini juga menjadi medan untuk penyelidik, akademia, komuniti dan industri khususnya dalam bidang robotik berkumpul untuk mempamerkan kehebatan inovasi dan teknologi masing-masing.

“Pertandingan robot sumo ini adalah kali pertama dianjurkan di peringkat Politeknik dan berjaya mencungkil bakat dalam kala­ngan pelajar yang tampil dengan inovasi serta teknologi terkini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, minat dan kemahiran inovasi peserta dapat dilihat apabila mereka mencipta robot yang mantap serta ber­upaya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, antara yang mencuri tumpuan adalah robot ciptaan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang muncul juara bagi kategori reka bentuk robot sumo terbaik.

“NIRES 2017 berjaya mengumpulkan hampir 100 pasukan dan dilihat berjaya kerana menjadi pencetus semangat kepada pelajar dan pensyarah menghasilkan produk inovasi berasaskan robotik,” katanya.